Pemain Manchester United, Jesse Lingard, berharap untuk melihat rakan sepasukannya, Anthony Martial, mampu mengekalkan persembahan cemerlang apabila bermulanya Liga Perdana Inggeris, bulan depan.

Pemain kebangsaan Perancis itu berjaya melakukan hantaran kepada Lingard untuk menjaringkan gol pembukaan dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) berdepan Real Madrid, dengan menggelecek tiga pemain pertahanan di dalam kotak penalti untuk melakukan hantaran kepada Lingard.Pengurus pasukan, Jose Mourinho, memuji persembahan Martial tetapi mengharapkan aksi yang lebih konsisten selepas dia bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan pada musim lalu.

Martial telah dikaitkan bakal meninggalkan Old Trafford, dan United berminat untuk mendapatkan pemain sayap Inter, Ivan Perisic.

Bagaimanapun, Lingard yakin pemain berusia 21 tahun itu yang disifatkan sebagai "mimpi buruk buat pertahanan", mampu menghasilkan persembahan yang mantap bagi musim 2017-18.

"Martial adalah seorang yang mahir mengawal bola dan dia memerlukan keyakinan untuk melakukannya," kata Lingard.

"Ia bagaikan mimpi buruk buat pemain pertahanan. Saya sangat bertuah kerana berjaya mencari ruang untuk menjaringkan gol.

"Permainannya semakin berkembang. Dia masih muda dan jika Martial mampu mendapatkan keyakinan, dia mampu mempamerkan persembahan yang lebih baik."

United menewaskan Real menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.