RENNES 1 PSG 0

Kylian Mbappe mempersiakan peluang keemasan dalam penampilannya yang ke-200 dalam Ligue 1, di mana pendahulu liga, Paris Saint-Germain (PSG), dikejutkan dengan kekalahan 0-1 di tangan Rennes awal pagi tadi.

Hamari Traore mengejutkan pasukan gergasi Perancis itu dengan memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-65 menerusi ledakan kaki kirinya -- jaringan pertamanya dalam saingan liga musim ini.

Pemain gantian, Mbappe, kemudian terlepas peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan buat PSG, di mana dia melepaskan rembatan kencang yang mengenai palang gol, biarpun hanya berdepan situasi satu lawan satu dengan Steve Mandanda.

PSG meneruskan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi Rennes kental bertahan untuk memastikan pungutan tiga mata penting di Roazhon Park.

Mereka kini menduduki tangga kelima liga dengan 37 mata, 10 mata di belakang pasukan di tangga teratas, PSG.