Ketiadaan Neymar dalam sesi latihan malam tadi atas penjadualan semula program pemulihannya bermakna dia akan terlepas pertembungan Coupe de France di antara Paris Saint-Germain (PSG) dengan Chateauroux.

Langkah itu disahkan Christophe Galtier selepas penyerang tersebut mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia membabitkan Brazil apabila terlepas dua perlawanan terakhir di peringkat kumpulan.

Namun, dia kembali mencetak gol untuk skuad Selecao dalam kedua-dua perlawanan kalah mati sebelum terkandas dalam suku akhir kepada Croatia.

Neymar kembali ke PSG dan diturunkan dalam perlawanan Ligue 1 ketika menentang Strasbourg, sebaliknya dia dilayangkan kad kuning kedua atas kesalahan simulasi pada minit ke-62 sebelum sepakan penalti lewat Kylian Mbappe memastikan kemenangan 2-1.

Sehubungan itu, dia perlu menjalani penggantungan dalam kekalahan 1-3 kepada Lens, hujung minggu lalu, yang merupakan kekalahan pertama mereka musim ini.


Begitupun, Galtier belum terdesak untuk mengetengahkan khidmat Neymar apabila menegaskan pemain berusia 30 tahun itu tidak akan terlibat dalam persiapan berdepan Chateauroux, awal pagi esok.

"Mengenai ketiadaan Neymar dalam latihan yang telah dijadualkan, ia turut melibatkan semua pemain yang beraksi dalam Piala Dunia," kata pengurus PSG itu kepada pemberita.

"Keadaan mereka sedang dinilai oleh kakitangan perubatan dan pasukan prestasi kami.

"Kami sepakat memutuskan bahawa Neymar, berikutan masalah buku lali yang membelenggunya, dia memerlukan masa untuk pulih."