Kylian Mbappe akan dilarang daripada berlatih dengan skuad utama Paris Saint-Germain (PSG) berikutan pertikaian berterusan kontraknya dengan kelab itu, demikian dilaporkan agensi berita, PA.

PSG kembali ke pangkalan latihan mereka hari ini selepas jelajah pramusim di Jepun dan Korea Selatan tetapi Mbappe tidak akan menyertai sesi latihan pasukan utama itu memandangkan masa depannya masih belum ada sebarang kepastian.

Sumber dalaman PSG percaya pemain itu, yang akan tamat kontrak pada musim panas depan, sudah mencapai kesepakatan untuk menyertai Real Madrid secara perpindahan percuma.

Pihak pengurusan Mbappe difahamkan enggan melayan tawaran kelab itu untuk menandatangani kontrak baru dengan klausa jaminan jualan, di mana akan membenarkannya untuk menyertai kelab lain secara percuma musim panas depan.

Daripada perspektif PSG, tiada sebab untuk Mbappe menolak tawaran itu kerana dia masih berpeluang untuk meninggalkan atau menyertai semula kelab itu apabila dia mahukan.

Difahamkan juga, Chelsea dan Barcelona antara yang bersedia untuk menyediakan tawaran pertukaran pemain berserta yuran perpindahan untuk mendapatkan Mbappe, yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis pada 2018 dan membintangi aksi selaku naib juara di Qatar tahun lalu.

PSG akan memulakan Ligue 1 musim 2023-24 dengan melayani kunjungan Lorient hujung minggu ini.