Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, sudah memaklumkan kepada Paris Saint-Germain (PSG) bahawa dia akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini.

Agensi berita PA melaporkan bahawa terma perpindahannya masih belum dipersetujui sepenuhnya dan pengesahan rasmi dijangka hanya akan dapat diperoleh beberapa bulan depan.

Bagaimanapun, pemenang Piala Dunia itu sudahpun memaklumkan mengenai keinginannya untuk berpindah kepada pegawai tertinggi kelab Perancis itu.

Kontrak Mbappe dengan PSG akan tamat pada musim panas ini dan sejak 1 Januari lalu, dia sudah dibenarkan untuk berbincang dengan pasukan lain.

Pemain berusia 25 tahun itu kini sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Sepanyol, Real Madrid.