Liga Super: Tiada istilah 'goyang kaki', import Negeri Sembilan jalani latihan di Bali
Ammar Hakim
October 10, 2024 17:19 MYT
October 10, 2024 17:19 MYT
Tiada istilah 'goyang kaki' buat pemain tengah import Negeri Sembilan, Sebastian Avanzini, ketika tidak mewakili mana-mana pasukan dalam tempoh setengah tahun sebelum ini.
Avanzini sebaliknya mengambil inisiatif menjalani latihan sendiri sepanjang berada di Bali, Indonesia hingga membantunya tampil cemerlang untuk dua perlawanan pertamanya musim ini.
Avanzini mencetus sensasi apabila meledak gol ketika melakukan debut bersama skuad Jang dalam perlawanan Liga Super menentang Penang.
Pemain kelahiran Itali yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu kemudian merekodkan gol kedua peribadi ketika bertemu Kelantan Darul Naim.
Ia sekali gus memastikan pembeliannya berbaloi walaupun tidak beraksi secara kompetitf sejak meninggalkan KL City hujung musim lalu.
"Saya mahu kekal di tahap terbaik, terdapat banyak kelab di Bali dan saya boleh mengekalkan tahap kecergasan," katanya menerusi Nadi Arena.
"Jadi ia adalah perkara positif untuk memastikan saya memiliki perkembangan dalam bola sepak saya."
Avanzini bagaimanapun belum mahu menguntum senyuman selagi belum dapat memacu Negeri Sembilan berada di kedudukan lebih baik dalam liga.
Skuad bimbingan P. Nanthakumar itu menghuni dasar liga selepas mencatat lapan kekalahan, dua keputusan seri dan hanya satu kemenangan.