Liga Super: Terengganu tamat kemarau kemenangan atasi Penang
Muzaffar Musa
November 1, 2024 23:05 MYT
November 1, 2024 23:05 MYT
TERENGGANU 1 PENANG 0
Terengganu menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa kemenangan apabila menewaskan Penang 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.
Kali terakhir Terengganu menang ialah ketika menewaskan Kuala Lumpur City 2-0 di Cheras pada 10 Ogos lalu.
Dalam aksi kali ini, jaringan Ubaidullah Shamsul Fazili dalam babak pertama sudah cukup untuk skuad Peteh itu menamatkan badi berkenaan.
Ubaidullah memanfaatkan sepenuhnya lintangan cantik Azam Azmi Murad untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-27.
Malang buat Penang apabila kekalahan kali ini menyaksikan rentetan tanpa kemenangan mereka berlarutan kepada tujuh perlawanan berturut-turut.
Kemenangan itu menyaksikan Terengganu kekal di tangga keempat dengan 21 mata sambil Penang pula di tangga ke-11 dengan 11 mata.