Liga Super: Terengganu label penyudah aspek paling kritikal
Shaiful Shamsudin
October 5, 2024 13:08 MYT
October 5, 2024 13:08 MYT
Bahagian serangan menjadi kelemahan paling kritikal yang perlu diatasi segera oleh Terengganu.
Skuad Pantai Timur itu merekodkan 15 jaringan selepas 11 perlawanan Liga Super, namun ia belum cukup untuk menghadirkan kegerunan terhadap serangan jentera.
Justeru, Badrul Afzan Razali -- yang diberi amanah bertindak sebagai jurulatih sementara berikutan peletakan jawatan Tomislav Steinbruckner -- menjelaskan aksi mereka makin bertambah baik tetapi masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.
"Kami menunjukkan satu peningkatan permainan tapi berdepan masalah penyudah, banyak benda kami perlu perbaiki daripada penyerang," katanya selepas perlawanan.
Penggempur import baru dari Salvador, Nelson Bonilla, membuka akaun jaringannya dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) dengan mencetak gol ketika seri 1-1 dengan PDRM di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Dan Badrul Afzan percaya taruhan terbarunya itu mampu menggalas tugas untuk merobek gawang lawan sekiranya diberikan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri.
"Nelson ada sentuhan penyudah tapi dia masih memerlukan masa.
"Hari ini dia diturunkan sepanjang permainan sejak terbabit dalam tiga perlawanan," katanya lagi.