Liga Super: Terengganu bangkit dua kali ikat Perak di Manjung

Muzaffar Musa
October 26, 2024 19:02 MYT
PERAK 2 TERENGGANU 2
Terengganu bangkit sebanyak dua kali untuk mengikat Perak 2-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi.
Jaringan sepakan penalti Luka Milunovic pada awal permainan meletakkan Perak di depan apabila tindakan Safwan Mazlan menjatuhkan Clayton da Silva mengundang padah.
Pengadil, Razlan Joffri Ali, memberikan penalti buat Perak selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Milunovic untuk menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin.
Bagaimanapun, ketika The Bos Gaurus kelihatan akan membawa kelebihan itu ke bilik persalinan, Nelson Bonilla mengikat kedudukan buat pelawat pada minit ke-44 dengan menolak masuk bola lintangan Manuel Ott, yang memanfaatkan kesilapan pertahanan Perak.
Dalam separuh masa kedua, Perak memperoleh satu lagi peluang sepakan penalti apabila Suhaimi mengasari Jesper Nyholm dan Luciano Guaycochea tenang menyempurnakan sepakan itu untuk meletakkan Perak kembali di depan pada minit ke-57.
Kealpaan Perak pada penghujung perlawanan sekali lagi menundang pada apabila Shivan Pillay Asokan didapati mengasari Safwan dan selepas semakan VAR, Razlan memberikan Terengganu tendangan penalti dalam waktu kecederaan, yang kemudian disudahkan Nik Shariff Haseefy Lazim untuk mengikat kedudukan.
Dengan keputusan itu, Perak terlepas peluang untuk memintas kedudukan Terengganu dan terpaksa akur kekal berada di tangga keenam dengan 16 mata manakala Terengganu pula kekal di tangga keempat dengan 18 mata.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Terengganu FC #Perak FC
;