Sri Pahang FC (SPFC) menyasarkan kedudukan sekurang-kurangnya lima teratas bagi saingan Liga Super 2023.

Ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad, berkata sasaran itu realistik memandangkan pemainnya masih mencari keserasian di atas padang.

Menurutnya, beberapa pemain juga masih dibelenggu kecederaan, jadi dia enggan meletakkan harapan terlalu tinggi buat pasukan kendaliannya itu.

"Memang kami hendakkan kemenangan tetapi sasaran perlu lebih realistik, kalau berjaya berada di kedudukan tiga teratas itu lebih baik," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Sri Pahang FC 2023 hari ini.

Turut hadir, Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahad Mua'adzam Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah, Pengerusi SPFC, Raja Datuk Seri Shaharudin Shah Raja Jalil Shah, dan Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Fandi berkata, barisan pemain SPFC bagi saingan Liga Malaysia musim ini sebahagiannya dibarisi muka baru.

Sempena majlis pelancaran itu, SPFC memperkenalkan jersi berwarna kuning-biru (home), jersi berwarna biru-kuning (away) dan jersi ketiga berwarna putih tajaan syarikat pembekal peralatan sukan, Hakka Clo.

Jelasnya, SPFC lebih fokus untuk mengutip sebanyak mungkin mata dalam setiap perlawanan dan belum berani untuk berasing lebih jauh, termasuk saingan Piala AFC.

"Persaingan pasukan lain juga tidak boleh dipandang mudah kerana semua berusaha memperkuatkan barisan pemain masing-masing," katanya.

Pengurus SPFC, Datuk Dollah Salleh, pula menyifatkan persiapan skuad Tok Gajah musim ini agak berbeza berbanding beberapa musim sebelum ini.

"Persiapan kami nampaknya lebih baik di bawah ketua jurulatih, Fandi Ahmad, dan saya percaya dia mampu memainkan peranan untuk membawa pasukan ini lebih jauh," katanya.

SPFC dibarisi 25 pemain barisan utama terdiri 19 pemain tempatan dan enam tonggak import.

Kredit: Sinar Harian