Stadium Astro logo
LIGA SUPER MSIA

Liga Super: Selangor sudah beraksi baik tapi hilang fokus -- Cheng Hoe

article-author-avatar
Sinar Harian 30/07/2023 | 05:11 MYT
Article ribbon Liga Super: Selangor sudah beraksi baik tapi hilang fokus -- Cheng Hoe
Biarpun kecewa Selangor FC gagal membawa pulang mata apabila tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, pengendali The Red Giant, Tan Cheng Hoe, menyifatkan kesebelasan pemainnya telah mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan.
Menurut Cheng Hoe, sepanjang 80 minit perlawanan, kesebelasan pemainnya telah beraksi baik hingga berjaya mengekang asakan tuan rumah tetapi akibat hilang konsentrasi pada 10 minit terakhir menyaksikan pintu gol skuad Merah Kuning itu dibolosi.
"Kalau ikut pelan, memanglah ia untuk mencuri mata di Stadium Sultan Ibrahim, namun ia ternyata tidak berhasil kerana walaupun kami sudah menunjukkan disiplin yang tinggi dalam separuh masa pertama, kelekaan ketika perlawanan menuju 80 minit menyebabkan kami dibolosi.
“Kita tahu rangkaian serangan JDT cukup kuat dan banyak gol dijaringkan mereka di sini (Stadium Sultan Ibrahim) dan kami cuba bermain lebih defensif namun gagal untuk mengawal situasi tersebut kerana apabila berdepan lawan seperti JDT, kami tidak boleh hilang fokus.
"Saya rasa banyak pasukan yang menentang JDT menggunakan pelbagai cara dan taktikal tetapi masih gagal sekat JDT dan jaringan gol yang dihasilkan itu membuktikan pasukan ini berada di tahap yang berbeza," katanya dalam sidang media sejurus tamat perlawanan itu.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor berada di kedudukan kedua Liga Super dengan 40 mata setelah mengharungi 19 perlawanan berbanding JDT yang mengumpul 54 mata hasil 18 kemenangan berturut-turut setakat ini.
Sementara itu, Cheng Hoe berkata kecederaan penyerang import, Richmond Boakye-Yiadom ,telah menjejaskan percaturannya hingga terpaksa mengubah taktikal dengan bermain secara bertahan.
Bagaimanapun katanya, kekalahan itu diharap tidak menjejaskan semangat juang pemain untuk bangkit sepanjang baki tujuh perlawanan Liga Super selepas ini dalam usaha merebut slot automatik ke Piala AFC, musim depan.
“Penting untuk kami persiapkan pasukan bagi mengharungi baki perlawanan akan datang dan fokus utama kami adalah untuk mencapai matlamat kekal di tempat kedua dalam carta Liga Super.
“Ketika ini kami juga hilang khidmat Faisal Halim yang digantung empat bulan tapi kami kena bijak mencari alternatif lain dan malam ini (Sabtu), kita lihat Mukhairi Ajmal (Mahadi), telah bermain dengan baik walaupun pertama kali bermain di posisi yang ditinggalkan Faisal," katanya.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #Tan Cheng Hoe #Liga Super Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Selangor FC