Liga Super: Perlukan masa, yakin pusingan kedua mampu beri cabaran -- Aidil Sharin

Najmi Iman
September 28, 2024 18:16 MYT
Naib juara Piala Cabaran 2023, Kuching City, memperaga perlawanan bertenaga ketika menentang juara 10 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
The Cats berjaya mengikat pasukan tuan rumah 0-0 dalam separuh masa pertama sambil kerap memintas lorongan bola untuk mengelakkan sebarang percubaan dilakukan ke arah gawang penjaga gol, Shahril Saa'ri.
Pun begitu, skuad bimbingan Hector Bidoglio menemui jaringan pertama menerusi ayam tambatan, Bergson da Silva, sebelum Juan Muniz menggandakan kelebihan pada minit ke-81 untuk kedudukan 2-0.
Luiz Fernando Welter muncul penjaring tunggal skuad pelawat apabila disahkan tidak ofsaid oleh video bantuan pengadil (VAR) untuk gol sagu hati.
"Sudah tentu kami sedang bertambah baik di kala kami mahu seluruh pasukan berkembang dan sudah tentu kami mempunyai sasaran tersendiri berbanding musim lalu.
"Namun kami mengakui masih memerlukan masa sebaliknya fokus kami pada pusingan kedua liga dengan kehadiran pemain pinjaman daripada JDT, Ramadhan Saifullah, Hazwan Bakri pula sedang mendapatkan prestasi semula, jadi saya yakin pasukan kami mampu memberikan cabaran nanti," kata ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak.
#liga super #bola sepak #Liga Super Malaysia #Aidil Sharin Sahak #Kuching City