PDRM FC diharapkan dapat menjelmakan keputusan positif ketika turun melayani kunjungan Selangor FC dalam perlawanan penamat pusingan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.

Itu harapan pengendali pasukan itu, Azzmi Ab Aziz, selepas skuad The Cops meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas kelab bermasalah, Kelantan FC, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 23 Mei lalu.

"Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan keputusan positif di Kota Bharu dan berharap momentum itu dapat diteruskan di Petaling Jaya malam ini.

"Sesungguhnya kami mengharapkan keputusan positif berdepan pasukan pilihan kedua terbaik Liga Super, Selangor, selepas Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Keputusan positif ke atas Selangor secara tidak langsung akan dapat memperbaiki kedudukan pasukan kami dalam liga bagi pusingan pertama," katanya.

Sebagai rekod, PDRM kini menghuni tangga ke-10 liga dengan 13 mata hasil empat kemenangan, satu seri dan tujuh tewas selepas mengharungi 12 perlawanan.

Selangor pula di tangga kedua dengan 28 mata hasil sembilan kemenangan, satu seri, dua kekalahan.

Sementara itu, Azzmi berharap pemain The Cops akan dapat menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan ketika berdepan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu nanti.

"Persembahan pemain PDRM semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Jadi, saya harap begitu juga dalam perlawanan ini selain mahu pemain PDRM lebih tajam di depan gol," katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian