Liga Super: Nidzam Jamil jawab status kehilangan Ronnie Fernandez

Muzaffar Musa
October 28, 2024 17:41 MYT
'Hashtag NJ Out' kembali berkumandang tatkala seorang jurulatih asing difahamkan sedang berada dalam radar pengurusan Selangor bagi menggantikan Nidzam Jamil.
Terdahulu, Selangor tewas 0-3 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ malam tadi.
Nidzam, dalam sidang media selepas perlawanan itu, sempat mengulas mengenai misteri kehilangan penjaring terbanyak mereka, Ronnie Fernandez.
"Ia bukan atas faktor prestasi (Fernandez), kami tidak dapat mendaftarkannya atas beberapa sebab yang saya tidak dapat kongsikannya di sini," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Sekali lagi, ia bukan disebabkan prestasi atau sesuatu seperti itu. Ada beberapa situasi yang menyebabkan kami tidak dapat mendaftarkannya malam ini."
Dalam perlawanan itu JDT menjaringkan dua gol dalam babak pertama hasil jaringan Romel Morales dan Bergson da Silva, masing-masing pada minit ke-29 dan 44.
Bergson kemudian menambah satu lagi gol pada minit ke-54 menerusi sepakan penalti.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Nidzam Jamil #Selangor FC
;