Ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid, menggesa pasukannya menamatkan rentetan kekalahan menjelang perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bandaraya malam esok.

Ini selepas pasukan Harimau Kumbang itu tewas kesemua empat perlawanan terakhir.

Penang tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC pada 20 Mei lalu sebelum kalah 0-1 di tangan Terengganu FC empat hari kemudian.

Mereka kemudian mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Johor Darul Ta'zim FC (JDT), bermula dengan dibelasah 0-5 dalam suku akhir Piala FA pada 28 Mei lalu sebelum tewas 0-2 dalam saingan liga minggu lalu

"Mereka (KL City) memiliki rangkaian penyerang yang bagus, (Herlison) Caion dan (Tchetche) Kipre selain (Paulo) Josue juga memiliki hantaran dan sepakan percuma yang mampu dia lakukan dengan baik," kata Manzoor Azwira kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz.

"Jadi, kami perlu menyekat tiga pemain ini daripada beraksi baik malam esok.

"Dalam bebrapa hari ini, kami telah melakukan latihan konbinasi dan penyudah kerana kami mahu mempertajamkannya memandangkan kami sudah empat perlawanan tidak dapat menjaringkan gol.

"Kami mencuba untuk mendapatkan kembali momentum jaringan kami," katanya.