Liga Super: Keletihan punca Kedah dibelasah Sabah
October 30, 2024 13:18 MYT
Ketua jurulatih Kedah Darul aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain, mengakui faktor keletihan pemain menjadi antara sebab utama pasukan itu dibelasah Sabah 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi.
Menurutnya, pemain kurang fokus dalam separuh masa kedua kerana keletihan menyaksikan mereka dibolosi tiga gol mudah.
"Mungkin keadaan pemain pada minit ke-70 mereka sudah keletihan tetapi kami mahu gol penyamaan dan terpaksa membuat tekanan tinggi kepada lawan di atas.
"Ia menyebabkan bahagian bawah agak terbuka dan di situ kami dibolosi dengan tiga gol yang mudah," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Dalam perlawanan itu, gol KDA FC dijaringkan Cleylton pada minit ke-45 dan Milos Gordic (m-63) manakala gol Sabah dijaringkan oleh Saddil Ramdani menerusi penalti (m-2) disusuli gol Joao Pedro Boeira Duarte (m-48 dan 68) selain S Kumaahran (m-84) dan Gary Steven Robbat (m-93)
Bagaimanapun, Nafuzi tidak mahu menyalahkan pemainnya selain menyifatkan mereka telah menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan itu.
"Terima kasih untuk pemain yang memberikan komitmen yang tinggi dan persembahan yang saya tidak boleh pertikaikan walaupun daripada segi keputusan tidak seperti yang kami inginkan.
"Daripada segi permainan, sedikit kelekaan di awal permainan memberikan penalti kepada lawan dan selepas itu pemain bangkit dan mempamerkan permainan tersusun selain mencipta beberapa peluang.
"Kalau kita tengok Sabah mempunyai kualiti daripada segi kelajuan dan kekuatan dan kita tewas kerana elemen tersebut," katanya.
--Sinar Harian