Kelantan United FC memasang impian besar untuk mengalahkan seteru setempat, Kelantan FC, dalam pertembungan Derby Kelantan di Kota Bharu malam esok.

Sasaran itu bagi memastikan skuad Sang Kijang Hijau berkenaan mengutip tiga mata penuh dan menamatkan saingan pusingan pertama Liga Super Malaysia 2023 bukan di kedudukan tercorot.

Penolong ketua jurulatih, Nazrulerwan Makmor, bagaimanapun, mengakui The Red Warriors (TRW) sukar ditewaskan mengikut rekod pasukan ketika berdepan pasukan itu dua musim lalu.

"Tetapi kali ini berbeza. Mereka ada banyak masalah dan inilah peluang kami," katanya melalui satu kenyataan.

Nazrulerwan, pada masa sama, tetap menghormati TRW, yang dibimbing Frank Bernhardt, tetapi beranggapan sangat rugi jika gagal mendapatkan kemenangan.

Menurutnya, satu kerugian buat Kelantan United jika melepaskan peluang mengutip kemenangan pertama ketika pelawat berdepan pelbagai masalah dalaman ketika ini.

Nazrulerwan yakin barisan pemain Kelantan United ketika ini sangat bersemangat serta mahu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu.

"Pemain telah melalui proses pemulihan cemerlang selepas menempuh kekecewaan di Negeri Sembilan dan bersungguh-sungguh dalam sesi latihan demi mencapai kejayaan sulung dalam saingan liga," katanya lagi.

Justeru, pasukan itu berjanji akan memberikan aksi terbaik dan mencatatkan kejayaan dalam usaha pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super selepas 13 perlawanan.

Kredit: Sinar Harian