Pemain import berkualiti dan pemain tempatan yang berpengalaman luas dimiliki Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi antara sebab Perak FC tumpas 0-3 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada semalam.

Pengendali sementara Perak FC, Yusri Che Lah, mengakui pasukannya hadir dengan corak permainan bertahan tetapi tetap bolos dengan jaringan besar kepada pasukan tuan rumah itu.

Menurutnya, taktikal tersebut terpaksa dilakukan oleh pasukan kejurulatihannya selepas The Bos Gaurus tewas beberapa perlawanan sebelum ini selain terdapat pemainnya turut mengalami kecederaan serta digantung.

"Selepas beberapa perlawanan dengan keputusan tidak memihak kepada kami, kami hadir ke sini dengan corak bertahan dan itu realitinya. Kita tahu kekuatan pasukan Kedah terlalu jauh untuk dibandingkan dengan pasukan kami.

"Kami dibolosi dalam babak pertama melalui hasil pergelutan yang kami pun kurang pasti dari mana punca jaringan itu terhasil dan apa yang cuba kami lakukan adalah bangkit semula dengan aksi lebih baik dalam babak kedua," katanya dalam sidang media.

Tambah Yusri, kualiti yang dimiliki oleh pemain import dan tempatan KDA FC turut membantu pasukan tuan rumah itu meraih tiga mata di laman mereka.

"Perak FC juga perlu diimbangi dengan kekuatan tenaga penyerang import kerana perkara ini dimiliki oleh hampir semua skuad Liga Super yang sedang beraksi.

"Liga kita ini memerlukan pemain import dan jika kita lihat pasukan Kedah, jika beraksi dengan satu import sahaja, maka keadaan perlawanan juga mungkin akan berubah," ujarnya.

Kredit: Sinar Harian