Liga Super: JDT belum fikirkan gelaran liga ke-11 selepas atasi Selangor

Muzaffar Musa
October 28, 2024 18:30 MYT
Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio, belum memikirkan mengenai gelaran ke-11 Liga Super buat pasukannya walaupun Harimau Selatan kini berkelebihan lapan mata dan satu perlawanan dalam tangan di puncak liga selepas menewaskan Selangor 3-0 di Petaling Jaya malam tadi.
JDT menjaringkan dua gol dalam babak pertama hasil jaringan Romel Morales dan Bergson da Silva, masing-masing pada minit ke-29 dan 44.
Bergson kemudian menambah satu lagi gol pada minit ke-54 menerusi sepakan penalti.
Ia menyaksikan Harimau Selatan kekal mendahulu liga selepas tamat separuh pertama musim ini.
Dalam sidang media selepas perlawanan itu, Bidoglio berkata: "Pada pandangan saya, jika kamu mahu fokus kepada pasukan kami, kami perlu menghadapi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Setiap perlawanan sukar buat kami kerana kami perlu meneruskan rentak kami dan tiga mata kali ini amat penting buat kami.
"Separuh kedua liga akan bermula hari ini, jadi kami ada banyak perkara untuk dilakukan," katanya.
Sebagai rekod, JDT merupakan juara Liga Super 10 musim berturut-turut sejak 2014.
#bola sepak #JDT #Liga Super Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Selangor FC #Hector Bidoglio
;