Hilang keyakinan disifatkan punca Perak FC dibelasah Terengganu FC 3-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Bagaimanapun, jurulatih interim The Bos Gaurus, Yusri Che Lah, mengakui pemainnya telah memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan itu.

"Saya faham mereka masih dihantui dengan isu keyakinan yang perlu ditangani segera.

"Kami barisan kejurulatihan dan pemain senior sentiasa memberikan kata-kata positif kepada pemain dan ini satu kerja yang cukup besar untuk saya tangani dalam tempoh tiga hari sebelum bertemu Kedah FC," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, Yusri memberikan jaminan akan meningkatkan usaha mengembalikan keyakinan pemain Perak.

"Keyakinan merupakan aspek penting, terutama bagi mengharungi baki perlawanan dan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya lagi

Dalam pada itu, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, gembira apabila skuad Penyu itu membawa pulang tiga mata ke Kuala Terengganu.

"Kami bermain dengan baik dan memiliki deretan peluang menjaringkan gol dalam perlawanan ini.

"Ada perlawanan kami tidak sepatutnya kalah tetapi inilah bola sepak dan kini, kami gembira kerana ia selepas dapat tiga mata ketika bertemu Penang FC dan sebelum itu, satu mata ketika bertemu Sabah FC.

"Setiap perlawanan baru satu cabaran baru dan saya maklumkan pemain untuk bermain dengan sepenuh hati jika hendak menang dan hari ini, kami berhak menang," katanya.

Kredit: Sinar Harian