Kejayaan Selangor membawa pulang tiga mata dari Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika menewaskan Terengganu FC 1-0 adalah hasil kerja keras dan persediaan rapi The Red Giants.

Pengendali Selangor, Nidzam Jamil, menyifatkan gol 27 saat dihasilkan penyerang kelahiran Chile, Ronnie Fernandez, penting dalam memberikan rangsangan dan kelebihan kepada pasukan pelawat itu.

“Jika ditanya gol 27 saat adalah nasib atau sebaliknya, pada saya nasib dalam sukan adalah persediaan dan kerja keras, kita tidak akan bernasib baik apabila tidak melakukan persediaan dan kerja keras pada tahap terbaik.

“Nasib baik ini adalah persediaan dan kerja keras, namun saya percaya Selangor telah melakukan persediaan rapi untuk berdepan Terengganu dan pemain-pemain juga bekerja keras untuk mendapatkan gol 27 saat itu, ya ada sedikit unsur nasib tapi saya lebih gemar menyatakannya hasil persediaan dan kerja keras pasukan.

“Jaringan awal itu juga yang menjadikan taktikal dan momentum perlawanan malam ini sedikit berbeza dalam separuh masa pertama dan kedua,” katanya selepas perlawanan itu.

Tambah Nidzam lagi, kemenangan di Terengganu itu juga penting kerana The Red Giants tidak meraih kemenangan di laman lawan dalam saingan musim ini.

“Jadi adalah penting kami menang di sini untuk moral serta meningkatkan motivasi pemain-pemain. Kami perlu keluar dari tanggapan menyatakan Selangor gagal mendapatkan mata apabila beraksi di laman lawan.

“Di Cheras (Kuala Lumpur City) kalah, di Temerloh (Sri Pahang) seri manakala di Likas (Sabah) menang jadi untuk menang di Terengganu bukan sesuatu mudah. Perlawanan di sini sangat terbuka sehingga minit ke-90 dan keputusan di sini penting sebab kami hendak kekal di tangga dua teratas,” katanya.

--Sinar Harian