Liga Super: Faktor keletihan punca Terengganu tewas kepada Selangor

Muzaffar Musa
September 29, 2024 19:03 MYT
Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner, mengakui faktor keletihan menjadi punca pasukannya tewas kepada Selangor dalam aksi Liga Super di laman sendiri semalam.
Jaringan Ronnie Fernandez seawal 30 minit pertama menjadi pemisah dalam perlawanan itu, sekali gus menyaksikan Sang Penyu terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan pasukan di tangga kedua liga berkenaan.
Perlawanan itu berlangsung hanya tiga hari selepas Terengganu terikat 2-2 dengan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa, dalam saingan ACC Shopee Cup di venue sama.
Steinbruckner mengakui faktor kepenatan membelenggu barisan pemainnya sehingga tidak dapat mempamerkan aksi terbaik.
"Tahniah Selangor kerana mendapatkan tiga mata. Tidak banyak rungutan daripada saya buat pemain kerana tiga hari lalu, kami menghadapi perlawanan yang sukar dan hari ini, kami melakukan kesilapan seawal minit pertama dan dibolosi.
"Selepas itu, kami bermain dengan lebih baik dan mecipta banyak peluang tetapi kami tidak dapat menjaringkan gol dan akhirnya tewas.
"Selepas ini kami perlu melihat untuk memulihkan pemain kami dan bersedia untuk perlawanan seterusnya," katanya.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Selangor #FC #Terengganu FC',