Insiden pertelingkahan di antara bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, dan pertahanan Perak, Tommy Mawat Bada, mencetuskan persoalan daripada rata-rata peminat bola sepak tempatan.

Terdahulu, Harimau Selatan berjaya memenangi perlawanan tertunda tersebut dengan jaringan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Pada minit ke-84, situasi tegang berlaku apabila melibatkan pergaduhan Arif Aiman dan Tommy Mawat yang berkesudahan kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning.




Dalam aksi itu, Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga tahun berturut-turut itu dilihat menumbuk Tommy Mawat ekoran provokasi yang berlaku.

Menerusi satu ciapan di X wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kedua-dua pemain berpotensi dikenakan hukuman susulan selepas ini.



"Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil.

"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan ambil tindakan terhadap insiden Arif Aiman dan Tommy Mawat," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.