Pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Akmal Md Zahir, enggan terbuai dengan pujian selepas menjaringkan gol menarik dalam saingan Liga Super minggu lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu mencuri tumpuan selepas menghasilkan gol menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti ketika membantu KDA menewaskan Kuching City FC 3-0.

Meskipun tidak beraksi di bahagian serangan, Akmal menganggap sudah menjadi tanggungjawab pemain untuk tidak mensia-siakan peluang di hadapan mata bagi meledak jaringan dan berharap mampu untuk terus memberi impak besar kepada Kedah pada musim ini.

Bagaimanapun bekas pemain Melaka United FC itu tidak mahu terlalu teruja dengan pencapaian berkenaan sebaliknya mahu lebih bersedia untuk mengharungi baki saingan liga yang lebih mencabar apabila Liga Malaysia (Liga-M) kembali bersambung.

“Saya masih teringat dan terbayang dengan gol tempoh hari tetapi sudah sampai masa kita jadikan kenangan manis tu sebagai sejarah sebab liga masih panjang dan kena fokus ke hadapan.

“Ia akan sentiasa menjadi pengalaman indah dalam karier lebih-lebih lagi saya bermain untuk negeri sendiri, namun selepas ini sudah tentu akan ada banyak lagi cabaran yang kami akan lalui.

“Saya tidak mahu selesa dan selepas ini saya rasa sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol tetapi insya-Allah, kalau masih ada ruang dan peluang, apa salahnya untuk saya cuba lagi meledak gol,” katanya.

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 1 April ini untuk berdepan Sri Pahang dalam aksi Liga Super.

Akmal melihat perlawanan itu bakal menjadi pertembungan yang sukar memandangkan Sri Pahang ketika ini begitu konsisten tanpa kekalahan selepas lima aksi.

Katanya, tempoh rehat hampir dua minggu ini sangat penting untuk mereka mempersiapkan diri dan memperbaiki kelemahan pasukan.

“Kita tahu Sri Pahang tahun ini cukup padu berbanding musim lalu tetapi saya rasa penting untuk kami fokus kepada persembahan pasukan sendiri.

“Bagi Kedah pula, secara peribadi saya rasa kami masih belum lagi berada di tahap yang diinginkan dan masih fasa menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi.

“Bagi membentuk satu pasukan yang kuat, peningkatan dari hari ke hari itu adalah penting dan itu yang kami nampak untuk Kedah musim ini,” tambahnya.

KDA ketika ini menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 12 mata selepas mencatat empat kemenangan daripada lima aksi.

Kredit: Sinar Harian