Akan berlaku peningkatan luar biasa dalam tahun kedua penganjuran Liga Malaysia melibatkan Astro sebagai penyiar rasmi.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, berdasarkan jumlah penonton siaran langsung, rakaman Astro GO dan aplikasi Sooka.

Siaran langsung perlawanan final Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu pada 8 Disember lalu mencatatkan tontonan tertinggi dengan 2.6 juta penonton selain aksi melibatkan Harimau Malaya turut mendapat sambutan luar jangkaan.

"Kami sebelum ini gembira dengan musim pertama mendapat hak penyiaran Liga Malaysia, di mana kami memperoleh 9 juta penonton melalui saluran set top box kami," kata Euan kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Di Astro Go, kami merekodkan lebih kurang 106 juta minit dan di Sooka, kami merekodkan 96 juta minit.

"Ia menunjukkan ketaksuban, kesetiaan dan minat yang luar biasa terhadap produk ini, jadi kami benar-benar fikir yang kami membantu MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dengan penyiaran Liga Malaysia.

"Kami benar-benar meningkatkan kualiti sukan ini dan ia dapat dilihat daripada segi mata penglibatan.

"Bagi tahun kedua pula, ia tentang membina sesuatu daripadanya dengan lebih akses pemain, lebih temu bual, lebih banyak program rancangan untuk meningkatkan ketaksuban ini, bahkan akan ada perlawanan disiarkan di Stadium Astro," katanya.