Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi bayangan badan induk itu berkemungkinan bakal mendapatkan khidmat pengadil dari negara luar bagi mengadili perlawanan terpilih Liga Malaysia (Liga-M).

Jelasnya, perancangan drastik itu bukanlah mahu menidakkan kualiti pengadil tempatan sebaliknya dilakukan bagi mengukuhkan lagi institusi pengadilan kancah ini.

Ini bukan kali pertama liga domestik mendapat khidmat pengadil dari luar negara memandangkan dalam final Piala FA 2019, FAM bertindak memanggil pengadil dari Jepun, Takuto Okabe, yang turut dibantu dua lagi rakan senegara, Akane Yagi dan Osamu Nomura.

Hamidin dalam perkembangan sama turut berharap agar sistem video bantuan pengadil (VAR) dapat digunakan menjelang penghujung saingan musim 2023.

"Saya telah berbincang dengan MFL mereka perlu menilai daripada bajet dan kepentingan bahawa kami akan panggil pengadil luar untuk perlawanan tertentu.




"Tapi kena ingat, bukan pengadil tempatan tidak bagus kerana pengadil luar ini bukannya tidak terlepas daripada membuat kesilapan, kesilapan manusia.

"Tapi ini menunjukkan kami akan cuba pelbagaikan untuk buktikan FAM dan MFL bukan ditakuk lama, tapi kami tingkatkan (keupayaan) dari masa ke semasa," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.