Liga Kejuaraan: Leeds lepaskan Adam Forshaw, Joel Robles
Muzaffar Musa
June 13, 2023 11:30 MYT
June 13, 2023 11:30 MYT
Leeds United mengumumkan bahawa mereka akan melepaskan Adam Forshaw dan Joel Robles selepas kontrak kedua-dua pemain itu tamat hujung bulan ini.
Pemain tengah, Forshaw, 31, menghabiskan lima setengah tahun bersama kelab itu tetapi terganggu dengan masalah pinggul yang menyaksikan dia terpaksa berehat selama 22 bulan sejak Oktober 2019.
Penjaga gol, Robles, 32, pula menyertai pasukan itu secara perpindahan percuma dari Real Betis musim panas lalu dan memulakan empat perlawanan terakhir Leeds dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Seorang lagi pemain tengah, Stuart McKinstry, turut dilepaskan.
Forshaw, yang melakukan 12 penampilan EPL musim ini dan hampir 100 kali mewakili Leeds dalam kesemua kejohanan, bersetuju untuk melanjutkan kontrak setahun pada 2022 dan kelab itu kini memilih untuk tidak lagi melanjutkan kesepakatan berkenaan.
Untuk rekod, Leeds tersingkir ke Liga Kejuaraan bulan lalu selepas tiga musim berada dalam saingan divisyen utama.