Liga Europa: Moyes ratapi insiden kad merah West Ham
Shaiful Shamsudin
May 5, 2022 07:54 MYT
May 5, 2022 07:54 MYT
WEST HAM 0 EINTRACHT FRANKFURT 1
(Frankfurt mara dengan agregat 3-1)
David Moyes memohon maaf kerana hilang sabar terhadap seorang pengutip bola yang menyaksikannya dibuang padang ketika West Ham terlepas tempat ke final Liga Europa.
Pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu diarah ke tempat penonton pada lewat permainan kerana menyepak bola ke arah pengutip bola tersebut ketika West Ham tewas 0-1 kepada Eintracht Frankfurt untuk tersingkir dengan agregat 1-3, sebentar tadi.
"Saya menendang bola ke arah budak pengutip bola itu jadi saya minta maaf. Bola yang dilontarnya ke arah saya tidak sampai," kata Moyes di BT Sport.
Rakaman televisyen mengenai kejadian itu menunjukkan Moyes berang dengan tindakan pengutip bola berkenaan.
Pasukan bimbingannya tempang hampir sepanjang perlawanan selepas Aaron Cresswell dibuang padang pada minit ke-18 untuk muncul sebagai pemain Inggeris pertama yang menerima kad merah dalam separuh akhir di peringkat Eropah sejak John Terry yang mengetuai Chelsea ketika menentang Barcelona dalam Liga Juara-Juara (UCL) 2011-12.
Menurut Moyes, West Ham adalah pasukan yang lebih baik daripada Frankfurt kendalian Oliver Glasner itu tetapi gol Rafael Borre dalam babak pertama memadam sisa perjuangan pasukan dari London berkenaan.
3 – Eintracht Frankfurt have reached their third final of a major European club competition. In 1959-60, they lost to Real Madrid in the European Cup and in 1979-80, SGE beat Borussia Mönchengladbach in the UEFA Cup. Final. #SGEWHU #UEL pic.twitter.com/1UeLYo2fAz
— OptaFranz (@OptaFranz) May 5, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Cresswell juga menjadi pemain Inggeris pertama yang dibuang dua kali dalam edisi yang sama selepas turut dirundung nasib sama dalam suku akhir bertemu Lyon.
Walaupun meminta maaf atas tindakannya sendiri, Moyes tetap tidak berpuas hati dengan keputusan mengarahkan Cresswell meninggalkan padang sambil melabel lawan yang dihadapi di kalah mati sebelum ini, Lyon dan Sevilla, lebih ampuh berbanding Frankfurt.
"Banyak aduan yang mahu dibangkitkan," katanya lagi kepada BT Sport selepas kekalahan itu.
"Kami seronok untuk berada dalam pertandingan itu. Saya tidak pasti sama ada kami menikmati mutu pengadilan tetapi kami menikmati pertandingan ini. Saya cuma kecewa kerana saya fikir ini adalah satu peluang. Saya fikir kami mungkin pasukan yang lebih menyerlah daripada Frankfurt.
"Sejujurnya, kami mungkin tewas dalam 30 saat pertama di Stadium London di mana kami melepaskan satu gol (yang dijaringkan oleh Ansgar Knauff) dan sejak itu kami terpaksa bangkit."
Menurutnya lagi di West Ham TV: "Pemain saya dibuang padang dan saya fikir sepanjang dua perlawanan ini, atas sebab tertentu, banyak perkara yang tidak memihak kami.
"Tetapi mungkin kami perlu belajar lebih sedikit mengenai pengadil di peringkat Eropah termasuk elemen berbeza. Kami dibuang padang dalam dua perlawanan -- termasuk suku akhir apabila kami terpaksa bermain 45 minit dengan 10 pemain.
"Malam ini, kami perlu mempamerkan aksi terbaik dalam 75 minit dengan 10 pemain jadi mereka telah bertindak cemerlang.
"Segala usaha dan ketahanan mereka untuk meneruskan perjuangan, saya fikir mereka cuba mengatasi Frankfurt dan memiliki peluang itu."