Ketika seluruh peminat bola sepak tanah air sedang memberi tumpuan kepada saingan Liga Super, seketariat Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Majlis Sukan Negara (MSN) terus menjalankan program akar umbi dengan menganjurkan pertandingan Akademi Tunas Zon Utara dan Zon Tengah yang melibatkan dua kategori umur, 11 tahun dan 12 tahun.

Ini satu usaha berterusan dilakukan pihak sketeriat NFDP kerana mereka ingin memastikan ekosistem pertandingan yang bersistematik dan mampu memberi peluang kepada setiap pemain di Akademi Tunas seluruh negeri yang terlibat untuk mempamerkan kualiti mereka.

Sebanyak 28 pasukan dari Akademi Tunasterlibat dalam kejohanan kali ini dan ia membabitkan lima negeri, iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Sudah pasti dengan kehadiran 560 orang pelatih akan memberi ruang kepada tujuh orang pencari bakat NFDP untuk menilai dan melihat sendiri bakat-bakat muda yang berkualiti dan berpotensi untuk mereka ditempatkan di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang kerana mereka ini adalah merupakan aset penting masa depan bola sepak Negara.

Sementara itu, seramai 56 orang jurulatih separuh masa (JSM) Akademi Tunas terlibat dalam kejohanan kali dan melalui pertandingan ini juga, pengurusan dan bahagian teknikal NFDP dapat melihat sendiri kualiti jurulatih di bawah naungan NFDP kerana JSM ini bukan sahaja melatih dari aspek teknikal dan membentuk jati diri pelatih tetapi mereka juga perlu memastikan pelatih-pelatih Akademi Tunas ini dapat bermain mengikut falsafah bola sepak yang diwujudkan NFDP sebelum pelatih-pelatih itu diserapkan ke AMD.

Inilah ujian sebenar JSM setiap Akademi Tunas untuk memastikan apa yang telah mereka pelajari daripada tenaga pelajar NFDP dapat dilaksanakan.

Kejohanan ini amat penting bagi pelatih kerana mereka dapat bermain dan berlawanan secara kompetitif memandangkan di dalam negara kita tiada lagi pertandingan yang dijalankan secara sistematik di peringkat akar umbi kecuali kejohanan di bawah NFDP dan lebih menarik perhatian penulis, Liga Akademi Tunas NFDP dijalankan secara tiga pusingan di mana 13 perlawanan di peringkat zon dan enam perlawanan di peringkat Karnival Kebangsaan.