Ketua Pegawai Operasi Liga Amatur Malaysia (AFL), Raimi Fakri Fuad, tidak menolak kemungkinan Kelantan boleh digugurkan daripada saingan Liga A1 Semipro seandainya gagal mendaftar pemain yang secukupnya.

Ini selepas The Red Warriors dikenakan sekatan perpindahan pemain, sekali gus tidak dapat menandatangani mana-mana pemain baru dan perlu menggunakan khidmat barisan pemain musim lalu sepenuhnya.

Hukuman itu dikenakan gara-gara kes tunggakan gaji yang telah dibawa sehingga ke peringkat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Peraturan kami menetapkan minimum 20 pemain didaftarkan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Dan sudah pasti Kelantan ketika ini sedang dikenakan sekatan mendatangkan pemain baru tetapi kami ketika ini tidak boleh katakan mereka tidak dapat melakukannya.

"Mana tahu mungkin dalam satu dua hari ini mereka dapat menyelesaikan semua masalah dan boleh daftar pemain?

"Tetapi jika mereka masih tidak boleh mendaftarkan pemain, ketika itulah kami perlu memikirkannya.

"Kerana jika kami benarkan pun, mereka tiada pemain untuk bermain, jadi mungkin mereka akan digugurkan," katanya.

Terdahulu, The Red Warriors antara pasukan baru yang diumumkan akan beraksi dalam Liga A1 yang sebelum ini dikenali sebagai Liga M3.

Liga itu menawarkan dua tempat ke Liga Super buat 16 pasukan bertanding.