Liga A1 Semi-Pro 2024: Machan buat pusingan U

Shaiful Shamsudin
September 26, 2024 17:06 MYT
Machan FC membuat pusingan U apabila kembali meneruskan perjuangan dalam kancah Liga A1 Semi-Pro 2024 di sebalik mengumumkan penarikan diri, minggu lalu.
Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Operasi (COO) Liga Bolasepak Amatur (MFL), Mohd Raimi Fakri, selepas pihaknya mendapat keputusan muktamad berhubung perkara berkenaan.
"Selepas kami menghubungi pihak pengurusan Machan, mereka menjelaskan bahawa mereka masih mencuba untuk menyelamatkan pasukan meskipun sudah memuktamadkan keputusan.
"Namun, mereka kembali kepada kami sambil menyatakan mereka sudah jumpa jalannya dan menghantar surat rasmi bersama kenyataan menarik kembali keputusan itu. Dan Alhamdulillah Machan masih mengambil bahagian dalam liga," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Kelab yang berpangkalan di Sarawak itu berhasrat menarik diri berikutan kekangan dana selain peningkatan kos penerbangan.
Mereka beroperasi menggunakan dana sendiri dan dilaporkan sudah membelanjakan hampir RM800,000 dalam tempoh enam bulan untuk pengangkutan, dengan setiap aksi di tempat lawan mencecah RM35,000.
"Apabila kami memberi ruang kepada mereka, mereka juga meminta untuk menundakan beberapa perlawanan dan mereka sudah mendapat persetujuan daripada pasukan lawan," katanya.
#bola sepak #Liga A1 Semi-Pro #Machan FC