Pengarah Kesukanan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo, berkata Thomas Tuchel perlu menerima keputusan yaang dibuat ke atasnya jika mahu kekal bersama juara Ligue 1 itu sambil mengakui mendatangkan Houssem Aouar merupakan satu impian.

Alessandro Florenzi merupakan satu-satunya pemain yang dibawa masuk PSG bagi musim 2020-21 walaupun sudah kehilangan beberapa pemain penting, iaitu Edinson Cavani, Thiago Silva dan Thomas Meunier.

Dalam sidang media kelmarin, ketua jurulatih, Tuchel -- yang membawa PSG layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (uCL) musim lalu -- menggesa perubahan dalam pasukannya dengan berkata: "Jika kami meneruskan dengan skuad yang kami ada hari ini, sejujurnya, kami tidak boleh meminta keputusan yang sama."

Leonardo mengkritik pendekatan jurulatih berbangsa Jerman itu dalam mendedahkan perkara berkenaan selepas PSG menewaskan Angers 6-1 dalam perlawanan Ligue 1 di Parc des Princes awal pagi tadi.

"Saya tidak menggemari komen Tuchel. Saya tidak memahaminya dan saya tidak menyukainya. Kelab ini turut tidak menggemarinya," kata Leonardo.

"Kami akan melihat perkara ini secara dalaman. Jika ada sesiapa yang tidak gembira, kita akan berbincang, tiada sebarang masalah.

"Tetapi jika dia memilih untuk kekal di sini, dia perlu menghormati keputusan oleh pengurusan pasukan ini.

"Kami tidak berada di sini untuk percubaan. Kami berada di sini dengan semangat untuk berkorban.

"Perkara paling penting adalah kelab ini. Kami tidak menggemarinya (dengan cara Tuchel bercakap)," katanya lagi.

PSG dikaitkan untuk mendapatkan pemain tengah Lyon, Houssem Aouar, yang turut menjadi sasaran pasukan Liga Perdana Inggeris, Arsenal.

Ditanya adakah akan ada pertambahan pemain menjelang tarikh tutup jendela perpindahan Isnin ini, Lonardo berkata: "Kami akan mencuba untuk melakukan beberapa perkara. Kita akan lihat tetapi masih belum ada apa-apa yang sudah pasti.

"Aouar, ia akan membuatkan anda bermimpi. Tetapi mungkin bukan buat masa ini. Ia agak rumit buat masa ini."