Lee Chong Wei saran BWF contohi tenis, bola sepak

Shaiful Shamsudin
December 19, 2024 10:25 MYT
Datuk Lee Chong Wei menuntut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) agar memperhalusi standard prosedur operasi (SOP) berhubung proses rawatan dan peraturan di atas gelanggang agar kesihatan pemain badminton lebih terbela.
Kejohanan Final Jelajah Dunia yang berakhir hujung minggu lalu menyaksikan beberapa insiden yang menafikan pemain untuk mendapatkan rawatan, termasuk ketika pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei, perlu meneruskan permainannya dalam keadaan yang pincang.
Justeru, bekas perseorangan nombor satu dunia itu tampil menegur langkah BWF yang dilihat terlalu tegas dalam hal menyekat pemain daripada melengah-lengahkan perlawanan walaupun tidak menolak bahawa ia juga boleh dimanipulasikan oleh pemain sendiri, antaranya bertujuan mengganggu rentak permainan lawan.
"Mereka perlu mencari penyelesaian lain bagi membantu pemain-pemain berhubung isu-isu berbangkit kebelakangan ini.
"BWF patut belajar daripada sukan lain misalnya tenis dan bola sepak," katanya.
Bintang Denmark, Viktor Axelsen, sempat mengkritik BWF yang dianggap mengabai kesihatan mental pemain malah pemain remaja China, Zhang Zhijie, 17, menemui ajal ketika beraksi dalam Kejohanan Remaja Asia di Indonesia, Jun lalu, gara-gara lambat diberi rawatan masalah jantung.
#badminton
;