Pemenang Liga Juara-juara Eropah (UCL), Real Madrid, mengesahkan bahawa mereka akan menyertai kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA meskipun ketua jurulatihnya, Carlo Ancelotti, berkata sebaliknya.

Sebelum ini, jurulatih berusia 65 tahun itu menolak pelawaan tersebut dengan alasan pengurangan insentif kemenangan yang ditawarkan menjadikan ia tidak berbaloi untuk disertai.
Selain itu, perubahan format pertandingan merupakan faktor terbesar jurulatih kelahiran Itali itu tidak mahu pasukannya turut serta kerana kepadatan jadual yang memenatkan setiap pemain.

Namun, pihak pengurusan tertinggi Los Blancos memaklumkan bahawa pasukan itu tetap akan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dan sepatutnya tidak dipersoalkan.

"Kami sentiasa komited untuk mendominasi arena bola sepak dunia. Oleh itu, kami akan bermain seperti yang dirancang kerana kami sangat berbangga untuk berjuang dalam kejohanan rasmi ini dan membolot semua gelaran," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi X Real Madrid.