Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez, mendedahkan persetujuan mengenai lanjutan kontraknya kini telah dicapai, secara tidak langsung menguatkan azamnya untuk melihat pasukannya mengekalkan permulaan positif mereka dalam kempen baru.

Perjanjian baru itu dijangka akan mengekalkannya di Nou Camp hingga sekurang-kurangnya 2025.

“Pembaharuan kontrak saya telah diselesaikan beberapa hari lalu. Kami mencapai persetujuan beberapa hari lalu dan ia akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media semalam.

“Saya sudah mengatakan bahawa saya 100 peratus mahu kekal di sini, saya gembira. Kami akan memaklumkan kepada anda dengan pengumuman rasmi tetapi ia telah selesai.

"Saya tiba dalam tempoh yang sukar, dalam keadaan buruk.

“Melihat perkembangan kami sekarang, kami telah berusaha dengan baik dalam setiap bahagian termasuk presiden, bahagian sukan, kakitangan. Kami masih cuba memperbaikinya.



“Ia adalah satu proses latihan dan pembinaan tetapi kami melakukan kerja yang sangat baik. Ini adalah musim penyatuan, permainan dan keputusan.

“Saya menerima sokongan penuh terutama ketika keadaan tidak begitu baik tahun lalu dan saya terhutang budi kepada presiden kerana menyokong saya. Kami berada dalam detik yang baik tetapi kami tidak boleh berhenti berusaha.”