LaLiga: Valencia tamatkan jodoh dengan Gattuso
Muzaffar Musa
January 31, 2023 08:27 MYT
January 31, 2023 08:27 MYT
Jodoh Gennaro Gattuso dengan Valencia hanya bertahan selama 18 perlawanan LaLiga sebelum kelab itu mengumumkan pemergian ketua jurulatih berkenaan.
Bekas pemain AC Milan dan Napoli itu dilantik sebagai pengendali Valencia menjelang musim 2022-23 selepas setahun dia tidak terlibat dengan apa-apa perlawanan.
Bagaimanapun, Gattuso tidak dapat menginspirasikan kejayaan buat Valencia, yang menamatkan saingan liga musim lalu di tempat kesembilan.
Gattuso meninggalkan kelab itu ketika mereka kini berada di tangga ke-14 dan tidak pernah menang dalam empat perlawanan terakhir sejak waktu rehat Piala Dunia untuk kini hanya dibezakan satu mata dengan kelompok tiga terbawah -- berkelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding pasukan lain dalam kelompok separuh terbawah.
Selepas kekalahan saat akhir kepada Real Valladolid pada hujung minggu lalu -- perlawanan terakhirnya selaku jurulatih -- Gattuso memberitahu penyokong Valencia bahawa dia bertanggungjawab sepenuhnya atas segala keputusan buruk berkenaan.
Official Statement I Gennaro Gattuso https://t.co/eT7c1AYiC4 pic.twitter.com/L8r8XRIsIw
— Valencia CF (@valenciacf_en) January 30, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Valencia CF mengumumkan bahawa pada Isnin, 30 Januari, kelab ini dan ketua jurulatih pasukan utama, Gennaro Gattuso, telah mencapai kesepakatan bersama untuk menamatkan kontrak perhubungan di antara kedua-dua pihak," kata satu kenyataan yang dikeluarkan Valencia.
"Kelab ini mengucapkan terima kasih kepada Gattuso atas komitmen dan usaha yang telah dilakukannya sepanjang berkhidmat dan mengucapkan selamat maju jaya buat masa depannya."