REAL SOCIEDAD 2 REAL MADRID 0

Real Madrid, yang beraksi dengan 10 pemain, sekali lagi keciciran mata dalam saingan LaLiga apabila tewas 0-2 kepada Real Sociedad, yang dikepalai bekas pemain mereka, Takefusa Kubo, awal pagi tadi.

Barcelona meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Osasuna sebelum sepak mula perlawanan di Reale Arena itu dan ia menyaksikan Madrid perlu memenangi perlawanan berkenaan seandainya mahu meneruskan pemburuan gelaran LaLiga tetapi tidak banyak yang dapat dilakukan mereka tanpa Vinicius Junior, yang digantung perlawanan, dan Karim Benzema, yang terpaksa direhatkan.

Kubo, yang menyertai La Real daripada Los Blancos pada Mei lalu, menjaringkan gol pembukaan tuan rumah pada dua minit pertama babak kedua dan tidak lama selepas itu, Dani Carvajal pula diarahkan keluar padang gara-gara mengutip kad kuning kedua.

Ander Barrenetxea kemudian memastikan kemenangan pasukan tuan rumah itu menerusi jaringannya pada lima minit terakhir.

Kekalahan terbaru itu menyaksikan Madrid perlu memberikan tumpuan penuh terhadap perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Manchester City bulan depan memandangkan sudah hampir mustahil untuk mereka memintas Barca di tangga teratas LaLiga selepas dibezakan 14 mata berbaki lima perlawanan musim ini.