LaLiga: Real Madrid kembali ke landasan kemenangan atasi Las Palmas

Muzaffar Musa
September 28, 2023 02:05 MYT
REAL MADRID 2 LAS PALMAS 0
Gol daripada Brahim Diaz dan Joselu dalam separuh masa berbeza memastikan Real Madrid kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Las Palmas 2-0 dalam perlawanan LaLiga di Santiago Bernabeu awal pagi tadi
Penjaga gol Las Palmas, Alvaro Valles, menghasilkan siri aksi menyelamat gemilang untuk mempertahankan gawangnya tetapi percubaan Diaz pada penghujung separuh masa pertama memberikan pasukan tuan rumah itu, yang dibimbing Carlo Ancelotti, kelebihan satu gol sebelum waktu rehat.
Joselu kemudian menggandakan kelebihan itu selepas sembilan minit perlawanan bersambung, sekali gus memastikan kemenangan keenam Real Madrid daripada tujuh perlawanan LaLiga musim ini.
Kemenangan itu juga menyaksikan Madrid bangkit ke landasan kemenangan selepas tewas 1-3 kepada Atletico Madrid dalam aksi 'derby' LaLiga hujung minggu lalu.
#bola sepak #Real Madrid #Las Palmas #LaLiga