LaLiga: Raphinha jaring gol kemenangan dramatik Barca selepas dua kad merah

Muzaffar Musa
November 8, 2022 07:35 MYT
OSASUNA 1 BARCELONA 2
Raphinha menjaringkan gol dramatik untuk Barcelona, yang bermain dengan 10 pemain, mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Osasuna dalam perlawanan LaLiga di Estadio El Sadar awal pagi tadi.
Blaugrana bangkit daripada ketinggalan satu gol selepas Robert Lewandowski dilayangkan kad merah dalam babak pertama untuk kini menduduki puncak liga dengan kelebihan lima mata.
Ia merupakan separuh masa pertama yang penuh drama buat Barca, di mana mereka ketinggalan seawal minit keenam gara-gara gol pembukaan David Garcia buat tuan rumah sebelum Lewandowski dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-31 kerana terjahan gegabahnya ke atas penjaring gol berkenaan.
Pemain simpanan yang belum sempat digunakan, Gerard Pique, menamatkan kariernya bersama Blaugrana dengan agak janggal apabila dia dilayangkan kad merah kerana pertengkarannya dengan pegawai permainan pada waktu rehat.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Xavi itu bangkit dalam babak kedua bermula dengan jaringan Pedri pada minit ke-48.
Pada ketika Osasuna kelihatan akan mendapatkan gol kemenangan pada lewat permainan, Raphinha masuk dari bangku pemain untuk menjaringkan gol pada lima minit terakhir, sekali gus memberikan Barca kemenangan penting dalam perlawanan terakhir sebelum LaLiga berehat bagi memberikan laluan kepada Piala Dunia Qatar.

RAPHINHAAAAAAAAAA!!!!!!!! ?? pic.twitter.com/5q8XIZICmx

— FC Barcelona (@FCBarcelona) November 8, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Barcelona #Osasuna #LaLiga #Raphinha
;