BARCELONA 1 ATHLETIC BILBAO 0

Pemain remaja, Marc Guiu, menandakan penampilan pertamanya bersama Barcelona dengan menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan untuk menewaskan Athletic Bilbao 1-0 dalam perlawanan LaLiga di Estadi Olimpic Lluis Companys awal pagi tadi.

Kemenangan itu turut menyaksikan Barca melonjak ke tangga ketiga liga divisyen utama Sepanyol berkenaan.

Selepas percubaan awal Joao Felix terkena palang, Barca -- yang masih beraksi tanpa penyerang utama yang masih cedera, Robert Lewandowski -- kelihatan akan dikecewakan dengan siri aksi menyelamat meyakinkan penjaga gol Athletic, Unai Simon.

Bagaimanapun, tidak lama selepas dimasukkan Xavi sebagai penampilan senior pertamanya, Guiu, 17, memberikan impak segera menerusi penyudah tenangnya pada minit ke-80, sekali gus menjadi jaringan kemenangan buat Blaugrana.

Kemenangan itu turut memastikan Barca kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Real Madrid, menjelang aksi El Clasico hujung minggu ini.