LaLiga: Lewandowski bengang digantung tiga perlawanan
Muzaffar Musa
December 25, 2022 12:03 MYT
December 25, 2022 12:03 MYT
Robert Lewandowski bengang apabila terpaksa menyaksikan tiga perlawanan Barcelona dari bangku penonton selepas digantung berikutan insiden sewaktu menentang Osasuna bulan lalu.
Pemain kebangsaan Poland itu dilayangkan kad kuning kedua dalam separuh masa pertama perlawanan terakhir Barca sebelum waktu rehat Piala Dunia Qatar -- kemenangan 2-1 di El Sadar pada 8 November lalu.
Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) mengenakan penggantungan tambahan sebanyak tiga perlawanan buat Lewandowski gara-gara didakwa melakukan gerak tubuh yang tidak sepatutnya ke atas pengadil, Gil Manzano, sebaik dia dibuang padang.
Barca juga gagal dalam rayuan mereka terhadap hukuman itu semalam dan Lewandowski mempersoalkan hukuman berat yang dikenakan ke atasnya.
"Ia amat sukar kerana saya berasakan penggantungan tiga perlawanan itu terlalu berat berbanding apa yang saya lakukan, itu sudah pasti," katanya kepada Sport.
"Ia amat menyakitkan tidak dapat beraksi dalam tiga perlawanan kerananya."
Bekas penyerang Bayern itu menegaskan tindakan yang dilakukannya itu tidak ditujukan kepada pengadil tetapi kepada ketua jurulatihnya, Xavi.
"Ia tiada kena-mengena dengan pengadil. Sebab saya dikenakan penggantungan tiga perlawanan tiada kena mengena dengan pengadil, ia di antara saya dengan jurulatih. Itu sahaja yang saya boleh katakan.
"Seminggu dua sebelumnya, saya ada berbual dengan Xavi dan dia menasihatkan saya supaya berhati-hati seandainya pengadil memberikan saya kad kuning.
"Ia hanya satu isyarat untuk menjelaskan bahawa dia tidak memahami apa yang berlaku. Kami sudah bercakap mengenainya dan ia adalah sesuatu di antara Xavi dan saya.
"Saya tidak faham apa yang berlaku," katanya lagi.