BARCELONA 3 SEVILLA 0

Xavi memuji persembahan Barcelona yang kekal tenang dalam kemenangan 3-0 ke atas Sevilla untuk peneraju LaLiga itu mendahului lapan mata di depan Real Madrid.


Barca mendominasi perlawanan di Camp Nou, awal pagi tadi, sebelum berjaya merobek gawang lawan menerusi pertahanan, Jordi Alba, pada minit ke-58.

Gavi menambah gol kedua 12 minit kemudian dan Raphinha yang mencipta umpanan itu menokok namanya pula selaku penjaring untuk Barca mencatatkan ke-10 berturut-turut tahun ini.

Sevilla memberi tumpuan hampir sepenuhnya kepada aspek pertahanan apabila hanya melancarkan tiga percubaan berbanding 16 oleh Barca, lantas Xavi gembira pasukannya mampu mematahkan asakan pelawat.

"Ini adalah hari untuk bertindak berani," katanya kepada DAZN.



"Kami bercakap mengenainya ketika waktu rehat. Adalah sentiasa sukar untuk menyerang apabila lawan meletakkan 11 pemain di belakang bola.

"Tetapi kami melakukannya dengan sangat baik dan saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini."

Barca mengambil kesempatan sepenuhnya daripada kekalahan mengejut 0-1 Real Madrid kepada Real Mallorca bagi menjarakkan pendahuluan mereka di puncak dalam mereka menghampiri gelaran pertama selepas empat musim.

"Kami telah mengharungi banyak perlawanan tanpa kalah dan adalah penting kami menang seperti hari ini," katanya lagi.

“Berdepan pasukan yang gemar bertahan, kami mencipta banyak peluang dan ia merupakan tindakan yang sangat positif.

"Semuanya berjalan lancar buaat kami. Kami berada lapan mata di depan Madrid tetapi perlawanan masih banyak lagi musim ini."