BARCELONA 2 REAL SOCIEDAD 0

Barcelona kembali ke tangga kedua LaLiga hasil kemenangan 2-0 ke atas Real Sociedad dalam aksi di laman sendiri awal pagi tadi.

Lamine Yamal menjaringkan gol pembukaan dalam babak pertama sebelum Raphinha menggandakan kelebihan Blaugrana menerusi sepakan penalti pada lewat permainan.

Yamal meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-40 menerusi penyudah tenangnya selepas menerima umpanan Ilkay Gundogan -- gol kelimanya dalam LaLiga musim ini.

Gol penalti Raphinha dalam waktu kecederaan kemudian mengesahkan kemenangan tuan rumah itu selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan pemain lawan.

Pasukan bimbingan xavi itu memintas Girona selepas menghimpunkan 76 mata -- berkelebihan satu mata berbanding seteru Catalan itu, yang terikat 2-2 dengan Alaves hujung minggu lalu.

Real Madrid pula sudah mengesahkan kejuaraan liga dengan 90 mata berbaki tiga perlawanan.