Wolverhampton Wanderers perlu memanfaatkan mentaliti bermati-matian bintang baru, Diego Costa, demikian kata Bruno Lage.

Wolves memancing bekas penyerang Sepanyol itu secara percuma minggu lalu dan dia berpeluang membuat penampilan sulung menentang juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, di Molineux, malam ini.

Januari lalu, Costa meninggalkan kelab Brazil, Atletico Mineiro, di sebalik merangkul kejuaraan berganda sepanjang tempoh singkatnya bersama Mineiro tahun lalu.

Kemampuannya menyudahkan peluang selain mampu menarik perhatian pertahanan lawan membuatkannya pernah dipuja di Chelsea dan Atletico Madrid sekalipun ada yang tidak menyenangi dengan karakter kerasnya.

“Apa yang saya mahukan ialah mempunyai pemain yang berkualiti, pemain yang masuk ke dalam padang dan melakukan segala-galanya untuk membantu pasukan memenangi perlawanan,” kata Lage seperti dipetik daripada Birminghammail.






“Dia tergolong dalam pemain sedemikian, itulah sebabnya dia menikmati kejayaan di Chelsea dan Atletico Madrid.

“Sangat sukar untuk menjadi pemain, sangat sukar untuk menjadi pengurus di sini. Kadang-kadang saya hadir di sini tanpa menunjukkan wajah sebenar saya ketika sesi latihan. Jika anda bercakap Diego Costa selama lima minit, anda akan ketawa selama empat minit kerana dia mempunyai personaliti sedemikian.

“Tetapi jika anda berdepan satu lawan satu dengannya pula, jika perlu dia pasti akan mematahkan kaki anda demi memenangi perlawanan. Itulah profilnya.

“EPL sangat sengit. Tentang patah kaki itu hanyalah gurauan tetapi apa yang kita boleh lihat dalam perlawanan ialah persaingan, perebutan, sentuhan fizikal, keamatan, permainan tidak dihentikan, ia beremosi -- segala-galanya. Apabila anda masuk ke dalam (padang), anda perlu turun dengan emosi dan keamataan dalam usaha memenangi perlawanan.”