BARCELONA 3 VALENCIA 1

Ronald Koeman berkata kualiti yang dimiliki Ansu Fati tidak lagi dapat disangkal selepas pemain itu menyinar sewaktu Barcelona menewaskan Valencia 3-1 dalam perlawanan LaLiga di Camp Nou awal pagi tadi.

Fati, yang kembali pulih daripada kecederaan lutut jangka panjang, hanya kerap digunakan sebagai pemain gantian sebelum waktu rehat antarabangsa lalu tetapi menandakan penampilan pertamanya sebagai kesebelasan utama sejak 7 November tahun lalu dengan gol penyamaan gemilang selepas Jose Gaya meletakkan Los Che di depan pada awal permainan.

Pemain remaja itu kemudian memenangi sepakan penalti yang disedahkan Memphis Depay untuk meletakkan Barca di depan sebelum waktu rehat dan Philippe Coutinho menambah gol ketiga Barca untuk memberikan kelegaan buat Koeman, yang sebelum ini tertekan disebabkan kekalahan berturut-turut dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan LaLiga sebelum waktu rehat antarabangsa.



Fati, yang baru-baru ini mewarisi jersi nombor 10 ikonik milik Lionel Messi, dikeluarkan pada minit ke-59, di mana Koeman menegaskan peralihan semula pemain itu ke dalam pasukan utamanya tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.

"Dia perlu meningkatkan fizikalnya secara sedikit demi sedikit tetapi kualiti yang dimilikinya tidak dapat disangkal lagi," kata Koeman kepada Movistar

"Hari ini, dia dapat beraksi selama sejam dan memiliki semakin banyak rentak permainan. Harap-harap dia dapat bermain untuk bertahun-tahun lagi di kelab ini.

"Kami mempunyai perancangan mengenainya. Hari ini, dia memulakan perlawanan buat kali pertama. Sedikit demi sedikit, dia akan menjadi semakin baik dan dia akan menjadi pemain yang lebih penting; dia berbeza dengan pemain lain," katanya.

Sergio Aguero -- yang menyertai pasukan itu daripada gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, sebelum musim ini -- melakukan penampilan pertamanya sebagai pemain gantian pada lewat permainan dan Koeman berkata dia akan mengambil pendekatan berhati-hati yang sama dalam menguruskan penyerang Argentina berkenaan.

"Amat penting untuk pasukan ini memulihkan penyerang yang cedera. Ansu dan Aguero merupakan pemain yang berbeza dengan kualiti yang Istimewa.

"Aguero juga merupakan pemain berpengalaman. Saya harap dia dapat mengekori laluan yang sama dilakukan Ansu.

"Ia bukan isu berkenaan kualiti, ia mengenai keadaan fizikal yang baik," katanya lagi.