Kredibiliti pasukan perubatan United dipersoal

Penulis Jemputan
February 22, 2018 11:18 MYT
Jose Mourinho mempersoalkan keputusan pasukan perubatannya selepas melihat Ander Herrera terpaksa dibawa keluar hanya setelah beraksi selama 17 minit ketika menentang Sevilla, awal pagi tadi.
Herrera terlepas aksi selama beberapa minggu akibat masalah kecederaan otot, namun disahkan cergas bagi perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.
Bagaimanapun, dia dilihat mengalami kecederaan sama selepas beraksi selama 17 minit, membuatkan Mourinho pantas menuding jari ke arah pasukan perubatannya kerana mengesahkan Herrera 100 peratus bersedia untuk bermain.
"Saya rasa ia adalah kecederaan yang teruk.
"Herrera mengalami kecederaan kecil sehingga menyebabkannya terlepas beberapa perlawanan tetapi pasukan perubatan memberitahu dia cergas untuk beraksi pada Sabtu lalu.
"Kami tidak membenarkannya beraksi kerana mahu dia benar-benar pulih sepenuhnya dan melindunginya tetapi perkara sebaliknya yang dapat dilihat," kata Mourinho.
"Selepas berlatih dari Sabtu hingga Selasa, Herrera mempamerkan aksi yang bertenaga sehingga membuatkan Ever Banega tidak mampu bergerak bebas.
"Hantaran ke belakang yang dilakukan telah menyebabkan masalah kepada bahagian otot yang tercedera sebelum ini, membuatkan kami harus membuktikan bahawa dia tidak cergas sepenuhnya."
Sementara itu, pengendali Sevilla, Vincenzo Montella, memuji aksi anak buahnya walaupun kecewa tidak dapat menyudahkan hidangan peluang yang dimiliki untuk mencatat jaringan.
"Kami meraih 10 percubaan tepat ke sasaran dan 10 sepakan sudut dalam babak pertama tetapi inilah bola sepak.
"Tidak dibolosi di peringkat ini adalah sesuatu yang penting dan kini kami perlu menjaringkan gol di Old Trafford. Saya yakin kami akan melakukannya kerana seluruh pasukan telah mempamerkan kualiti dan perwatakan yang hebat, membuatkan saya berasa bangga," katanya lagi.
#Manchester United #Jose Mourinho #Sevilla #Vincenzo Montella #Ander Herrera
;