Kobbie Mainoo dijangka tidak beraksi, alami masalah kesihatan
Ammar Hakim
March 30, 2024 08:55 MYT
March 30, 2024 08:55 MYT
Kobbie Mainoo mengalami masalah kesihatan dan terpaksa diketepikan daripada latihan kesebelasan utama Manchester United namun Erik ten Hag berharap pemain tengah itu dapat diturunkan bertemu Brentford minggu ini.
Produk akademi berusia 18 tahun itu menempah nama musim ini dan menjadi salah seorang pemain United yang menyinar di sebalik musim yang mengecewakan, dengan kelab menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris.
Pada mulanya dia tidak tersenarai dalam skuad 25 pemain England bimbingan Gareth Southgate menjelang pertemuan persahabatan dengan Brazil dan Belgium, pemain muda itu kemudian diserap dan telah meraih dua kaps bersama skuad kebangsaan.
Di sebalik hanya beraksi 74 minit ketika The Three Lions seri 2-2 dengan Belgium, Mainoo berjaya meraih anugerah pemain terbaik perlawanan di Wembley berdasarkan prestasinya di atas padang.
Tetapi menurut Samuel Luckhurst dari The Manchester Evening News, Mainoo mula berasa tidak sihat awal minggu ini dan tidak menyertai sesi latihan United pada hari Khamis.
Namun, Mainoo melaporkan diri untuk latihan di Carrington pada hari Jumaat, dan Ten Hag berharap dapat menggunakan pemain muda itu di Stadium Komuniti Gtech, dengan Red Devils memburu kemenangan kedua berturut-turut di liga teratas.
Pemain tengah itu telah membuat 14 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini dan menjaringkan gol penting pada detik terakhir dalam kemenangan dramatik United 4-3 menentang Wolves bulan lalu.