"Khianat atau kejar impian?"

Syamil Izwan Azizan
May 30, 2017 14:43 MYT
"In these situations, when you have to make a hard decision in your life, I always listen to that little boy inside me. What does he want? That boy was screaming for Manchester United."
- Robin van Persie, 17 Ogos 2012.
Keputusan yang sukar tetapi akhirnya membuahkan hasil buat Van Persie apabila dia akhirnya "menikmati" kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester United pada musim 2012/2013.
Nyata dia menjadi antara faktor utama kejayaan United pada musim berkenaan, menjaringkan 26 gol termasuk hatrik ketika aksi menentang Aston Villa, sekaligus memastikan gelaran juara jadi milik The Red Devils.
Benar, semasa dia menandatangani kontrak jangka panjang bersama Arsenal pada 8 Julai 2009, dia akui sukar untuk melihat dirinya menyarung jersi pasukan lain.
Apatah lagi pengurus The Gunners, Arsene Wenger banyak menaruh kepercayaan dan sentiasa memberikan sokongan terhadap pemain antarabangsa Belanda itu.
“My heart is with Arsenal and I just can’t picture myself with a different shirt.”
Namun sejak itu, dia sering dikecewakan dengan prestasi turun naik Arsenal sehinggakan sejak menyertai pasukan itu pada 2004, dia gagal mencapai impian menjuarai EPL.
Ketika kontraknya berbaki semusim lagi bersama Arsenal, Van Persie sudah memutuskan dia tiada harapan untuk bergelar juara domestik bersama pasukan berpangkalan di London itu.
Lantas peluang berhijrah ke United merupakan keputusan tepat buat Van Persie meskipun hanya mengutip trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan juga Piala Sumbangsih musim berkenaan sepanjang 3 musim bersama United.
Sudah pasti penyokong Arsenal akan melabelnya 'pengkhianat' namun pada masa sama mereka perlu memahami keinginan seorang pemain bukan sahaja untuk menang tetapi juga perlu mengisi karier mereka dengan medal kejuaraan.
Tidak percaya? Tanya sahaja kepada Gael Clichy, Samir Nasri dan Cesc Fabregas.
Kesemua bekas pemain Arsenal ini mendakap gelaran yang amat dimahukan iaitu Liga Perdana Inggeris bersama pasukan lain.
Clichy dan Nasri menjuarainya bersama Manchester City, Fabregas pula dapat medal kejuaraannya dengan seteru Arsenal di London iaitu Chelsea.
Malah, Thierry Henry akhirnya merasai nikmat mendakap Liga Juara-Juara Eropah ketika bersama Barcelona!
Tindakan yang diambil Van Persie ini adalah lumrah dalam bola sepak meskipun masih lagi terdapat pemain yang setia kepada satu pasukan di sepanjang karier mereka.
"Everyone knows me by now. I love football. I am quite principled in that perspective. It is always difficult to find the perfect match but I do feel this is the perfect match for me."
Musim 2012/2013 - 38 penampilan liga, 26 gol, 28 kemenangan, Anugerah Kasut Emas, Juara Liga Perdana Inggeris - Robin van Persie.
#Arsenal #Manchester United #Robin van Persie
;