Khairul Helmi resah kelibat bekas tonggak Lang Merah
April 8, 2017 16:50 MYT
Ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari, tidak akan mengizinkan PKNS FC membawa pulang sebarang mata ketika bertandang ke Stadium Darulaman yang dilabel sebagai stadium keramat mereka, malam ini.
Selaku kapten, Khairy Helmi mendambakan keputusan yang memihak kepada Lang Merah dalam aksi penting untuk meneruskan rekod kecemerlangan tanpa tewas, musim ini.
Pertemuan dengan Semut Merah sedikit-sebanyak mendapat perhatian Khairul Helmi meskipun barisan E. Elavarasan gagal berada dalam kedudukan terbaik dalam saingan liga, musim ini.
Situasi itu menggusarkan Khairul Helmi kerana barisan pemain berpengalaman yang dimiliki PKNS mampu mengatasi Kedah andai anak buah Tan Cheng Joe mengambil mudah lawan ketika ini.
"Kami akan mengambil serius perlawanan ini.
"Kami akan saling mengingati antara satu sama lain, kami tidak boleh mengambil mudah dalam setiap perlawanan.
"Kami sedar ramai bekas pemain Kedah kini bersama skuad PKNS, sudah tentu mereka mahu membuktikan sesuatu," katanya.
Keberkesanan jentera serangan PKNS membabitkan Safee Sali dan Patrick Ronaldinho juga mencetuskan kebimbangan Khairul Helmi ketika mereka kehilangan sentuhan Baddrol Bakhtiar dan Fitri Omar, selain status pemain import, Liridon Krasniqi, yang diragui kerana dibelenggu kecederaan.
"Baddrol dan Fitri tidak akan diturunkan.
"Jurulatih pasti akan memikirkan pengganti yang sesuai untuk mengisi posisi mereka."