Kesilapan Onana buat Manchester United tempa laluan sukar

King Hisyam
November 30, 2023 09:52 MYT
GALATASARAY 3 MANCHESTER UNITED 3
Sebahagian besar penyokong Manchester United pagi tadi mungkin sepakat untuk menuding jari ke arah penjaga gol kelab tersebut, Andre Onana, sebagai faktor yang menyebabkan mereka terpaksa berkongsi satu mata dengan Galatasaray selepas seri 3-3.
Keputusan itu, sekali gus, menyukarkan United untuk melayakkan diri ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menduduki tangga tercorot kumpulan A, satu mata di belakang Galatasaray.
Kelab gergasi Inggeris itu berkunjung ke Stadium Rams Global, Istanbul mendahului dan seawal minit ke-11 menerusi jaringan Alejandro Garnacho.
Malah, The Red Devils berkedudukan lebih selesa apabila Bruno Fernandes melebarkan kedudukan tersebut menjadi 2-0 apabila meledakkan jaringan kedua pada minit ke-18.
Tuan rumah yang tersentak dengan dua gol tersebut bagaimanapun sedikit lega apabila jurang itu berjaya dirapatkan apabila sepakan percuma Hakim Ziyech tepat menerjah jaring Manchester United untuk kedudukan 2-1 sebelumkedua-dua pasukan ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua serangan agresif United diteruskan lagi dan membuahkan hasil apabila berjaya menemui gol ketiga, kali ini menerusi jaringan Scott Mctominay.
Nasib kurang baik United bermula apabila Galatasaray sekali lagi merapatkan jurang jaringan apabila Andre Onana melakukan kesilapan mudah yang menyaksikan bola sepakan percuma Hakim Ziyech bolos ke jaring pelawat.
Memasuki minit ke-71 giliran pemain tuan rumah Kerem Aktur Koglu melepaskan rembatan padu yang tepat merobek gawang United sekaligus mengikat kedudukan menjadi tiga sama.
Kedudukan tersebut kekal hingga wisel penamat ditiupkan.
Dengan keputusan itu Manchester United yang hanya mencatatkan satu kemenangan daripada lima perlawanan perlu menewaskan juara Kumpulan A, Bayern Munich, dalam aksi terakhir pada
12 Disember ini.
#bola sepak #Manchester United #Galatasaray #Liga Juara-Juara Eropah
;